Khamis, 26 Mac 2015

Text Box:       SEKAPUR SIRIH
Dalam dunia yang dilanda arus globilasasi atau tanpa sempadan ini pendidikan menghafaz Al-Quran dan pembelajaran kitab-kitab hadis bermatlamat untuk membina masyarakat yang faham tentang Islam yang sebenar demi melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab atas agamanya (menganut aqidah Islam yang sebenar), bertolak ansur, berkasih sayang dan berfikiran terbuka sekaligus memenuhi apa yang dituntut oleh Allah S.W.T Al-Quran adalah kitab suci yang terakhir diturunkan sebagai pembimbing manusia ke jalan yang benar.  Oleh kerana ia yang akhir, maka ia lebih lengkap dibandingkan dengan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya.  Al-Quran juga merupakan kitab yang mu`jiz.  Bahasanya tinggi, sasteranya indah, maknanya dalam, pengajarannya luas dan isi kandungannya meliputi segenap aspek kehidupan manusia.  Dan yang lebih hebat lagi, ia boleh dihafaz oleh manusia dan jin yang mempunyai niat yang ikhlas untuk berbuat demikian.  Tentu ada sesuatu hikmah disebaliknya, justeru kita dianjurkan supaya menghafaznya.
Menghafaz Al-Quran bukan perkara baru.  Sejak ia diturunkan ia telah pun dihafaz.  Nabi Muhammad s.a.w.  merupakan orang pertama menghafaz Al-Quran.  Dengan demikian baginda s.a.w. digelarkan Saiyidul-Hufaaz (Penghulu bagi penghafaz Al-Quran). Sahabat-sahabat semuanya menghafaz Al-Quran.  Ada di antara mereka yang menghafaz seluruh Al-Quran, dan ada di antaranya yang menghafaz sebahagiannya sahaja.  Bagi setiap orang Islam dikehendaki menghafaz Al-Quran sekurang-kurangnya cukup untuk dibaca di dalam solat.
Menghafaz Al-Quran bukan bermakna mengingat ayat-ayatnya sahaja, malah ia mempunyai maksud yang lebih daripada itu.  Tidak ada bahasa lain yang dapat menterjemahkan perkataan Hafaz atau (hifz) dalam bahasa Aarab. Hifz dari segi bahasa bermaksud menjaga, dan memelihara.  Justeru, orang yang menghafaz Al-Quran ialah orang yang memelihara Al-Quran daripada hilang.  Ia menyimpannya di dalam dada, dan ia membacanya selalu supaya tidak lupa dan tidak hilang. 
Menghafaz bukan bermaksud mengingat sahaja, walau pun mengingat itu satu daripada unsur menghafaz.  Menghafaz bermaksud menjaga, mengulang dan menghayati. Proses menghafaz bermula dengan membaca dan mengulang.  Yang telah lekat di dalam dada itu dijaga supaya tidak hilang.  Caranya ialah juga dengan selalu mengulang-ulang bacaan. Menghayati maksud ayat-ayat yang dibaca itu tidak dapat dilakukan kecuali dengan memahami maknanya.  Dan ini juga merupakan satu aktiviti yang perlu diambil perhatian.
"Sesungguhnya Al-Quran ini menunjukkan ke jalan yang     paling lurus dan memberi berita gembira kepada orang mukmin yang    mengerjakan amal soleh, bahawa bagi mereka ganjaran yang besar".    Surah Al-Isra 9.
"Sesungguhnya orang-orang yang membaca kitab    Allah dan mendirikan solat serta membelanjakan daripada rezeki    yang Kami kurniakan kepada mereka secara rahsia atau secara    terang, sedangkan mereka mengharapkan perniagaan yang tidak    akan binasa (pahala yang bekekelan), nescaya Allah akan    menyempurnakan kepada mereka ganjaran yang patut mereka     dapat, malah menambahkan lagi kepada mereka beberapa     kelebihan.  Sesungguhnya Dia (Allah) Maha Pengampun lagi amat bersyukur".  Surah Fatir 29-30.
"Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah Ta'ala, maka    baginya satu kebajikan, dan satu kebajikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda.  Aku tidak mengatakan Alif, Lam, Mim itu satu huruf,  tetapi, Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf".  Riwayat Ibnu Mas'ud.  
Abu Umamah al-Bahili r.a. meriwayatkan  dengan katanya: "Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:  "Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang di hari Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya"
Membaca Al-Quran bukan sahaja mendapat pahala dan menjadi syafaat di dalam kubur dan juga di hari Akhirat, tetapi ia juga merupakan ubat dan penawar serta rahmat bagi seluruh kaum muslimin. "Dan Kami turunkan sebahagian daripada ayat-ayat Al-Quran itu menjadi penawar dan rahmat bagi orang mukmin". Surah Isra 82.
Fadhilat Al-Quran bukan sahaja kerana membacanya, malah mendengarnya pun mendapat banyak manfaat.  Antaranya ialah seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang mendengar (bacaan) satu ayat dari kitab Allah   (Al-Quran), maka ayat itu menjadi nur (cahaya) baginya". Riwayat Ibnu Abbas r.a.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan